Rihlah Ibn Batutah: Barat Laut Afrika & Mesir

25Jun07

Bab 1 : Barat Laut Afrika & Mesir

Pengembaraan Ibn Battutah bermula pada zaman pemerintahan Amir al-Mu’minin, Abu Sa’id ibn Maulana Amir al-Mukminin dan Abu Yusuf ibn ‘Abdil Haq. Abu said ialah seorang mujahid dan dermawan manakala Abu Yusuf pula berjuang dengan penuh keikhlasan untuk menghapuskan kesyirikan dan kekufuran. Ibn Battutah tiba di kota Tilimsan pada zaman pemerintahan Sultan Abu Tasyafin ‘Abdul Rahman ibn Musa ibn Musa ibn ‘Uthman ibn Yaghmurasan ibn Zayyan. Ketibaan beliau kesitu serentak dengan ketibaan dua orang raja Afrika. Setelah beberapa hari Ibn Battutah di kota Tilimsan, beliau meneruskan pengembaraan ke kota Milyanah. Di Kota Milayanah juga beliau bertemu dengan dua orang utusan raja Afrika. Disebabkan cuaca di kota Milayanah terlalu panas dan terik salah seorang utusan raja Afrika tersebut meninggal dunia dan di kebumikan disitu.

Ibn Battutah meneruskan perjalanan ke kota Jaza’ir bersama-sama dengan sekumpulan pedagang dari kota Tunis. Antara pedagang tersebut ialah al-Hajj Mas’ud ibn al-Muntasir, al-Hajj al-‘Aduli dan Muhammad ibn al-Hajar. Di kota Jaza’ir mereka berkhemah selama beberapa hari sementara menunggu kedatangan Syed Abu ‘Abdillah serta anak kadi tersebut. Kemudian mereka menaiki sejenis pengangkutan dan menuju kesebuah pergunungan Zan lalu sampai di Kota Bijayah( Bajayah). Disitu Syeikh Abu Abdillah menumpang di rumah kadi kota tersebut yang bernama Abu ‘Abdillah al-Zawawi. Kesihatan Ibn Battutah terganggu dan mengalami demam semasa berada di Bijayah, beliau dinasihati oleh Abu ‘Abdillah al-Zawawi supaya menangguhkan perjalannanya tetapi Ibn Battutah enggan dan tetap dengan semangatnya yang kuat untuk meneruskan perjalanannya. Oleh itu Abu ‘Abdillah meminjamkan tunggangannya kepada ibn Battutah agar memudahkan lagi perjalanannya. Ibn Battutah pun menggunakan tunggangan yang dipinjamkan dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di Kota Qusantinah , tiba disana hujan turun dengan lebat dan terpaksa meninggalkan khemah untuk mencari tempat teduh. Di Kota Qusantinah Ibn Battutah mendapat dua dinar emas dari Abu al-Hasan, hakim kota tersebut. Itu merupakan pemberian pertama yang diterima oleh ibn Battutah dalam pengembaraannya.

Kemudian Ibn Battutah memulakan pengambaraannya dan sampai di kota Bunah dan menumpang disitu selama beberapa hari. Ibn Battutah sekali lagi diserang demam, beliau mengikat tubuhnya pada pelana dengan serban untuk mengelakkan dirinya daripada jatuh dan akhirnya sampai d kota Tunis. Di kota Tunis beliau menumpang di madrasah seorang penjual buku di kota tersebut. Sultan yang memerintah kota Tunis pada masa itu ialah Sultan Abu Yahya ibn Sultan Abi Zakaria Yahya ibn Sultan Abi Ishaq Ibrahim ibn Sultan Abi Zakaria Yahya ibn ‘Abdil Wahid ibn Abi Hafs r.a. di Tunis ada sekumpulan alim ulama yang terulung. Ketika berada di kota Tunis adilfitri menjelang, Ibn Battutah pun menyertai orang ramai menunaikan solat hari raya di Masjid. Penduduk di Tunis akan memakai pakaian yang paling baik dan mahal, manakala sultannya tiba dengan menunggang kuda dan diiringi oleh sekalian kerabat, pegawai utama dan hamba-hamba kerajaan yang berjalan kaki. Setelah menunaikan solat dan mendengar khutbah hari raya, orang ramai kembali ke rumah masing-masing.

Ibn Battutah berangkat meninggalkan Tunis pada akhir bulan Zulkaedah dan berjalan mengikut jalan pantai lalu sampai di kota Susah. Susah ialah sebuah kota kecil tetapi indah dan dibina ditepi pantai. Kota ini juga terletak kira-kira 40 batu dari kota Tunis. Kemudian beliau tiba di kota Safaqis yang diluarnya terletak makam Imam Abu al-Hasan al-Lakhmi al-Maliki, Pengarang kitab “ Al-Tabsirah fi al-Fiqh”. Ibn Battutah menetap selama 10 hari di kota Qabus disebabkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kerana hujan turun teru-menerus tanpa berhenti. Mereka meninggalkan Qabus dan menuju ke kota Tarabulus. Ibn Battutah dan beberapa orang lagi telah diiringi oleh 100 orang penunggang kuda termasuk sepasukan pemanah. Oleh yang demikian suku kaum Arab yang merayau-rayau mencari mangsa itu tidak berani mendekati kami. Perjalanan ke kota Tarabulus mengambil masa selama empat hari. Sebelum itu Ibn Battutah berkahwin dengan anak perempuan seorang pemegang amanah di Safaqis dan isteri beliau telah diserahkan di Tarabulus. Pada akhir bulan Muharram tahun 726 H, Ibn Battutah meninggalkan Tarabulus dengan membawa isteri dan diiringi oleh sekumpulan orang dari kaum Masmudah. Ibn Battutah dan rombongannya melewati Kota Maslata, Masratah dan Qasura Surta. Sekumpulan arab hendak menyerang tetapi tidak berjaya, Ibn Battutah bersyukur ke hadrat ilahi atas perlindungan yang diberikannya. Kemudian rombongan ini melalui kawasan hutan dan sampai di istana seorang abid iaitu Barsisa lalu seterusnya ke kubah Salam. Suatu perselisihan telah berlaku di antara Ibn Battutah dan bapa mertuanya lalu beliau terpaksa berpisah dengan isterinya. Selepas itu Ibn Battutah telah berkahwin dengan anak perempuan salah seorang penuntut agama dari Fez.

Pada awal bulan Jamadilawal, Ibn Battutah tiba di kota Iskandariah. Kota Iskandariah merupakan Kota perbatasan yang pertahanannya kukuh, layanan penduduk amat baik , pemandangan yang menakjubkan dan binaannya yang kukuh serta memiliki ciri seni bina yang mengangumkan. Kota Iskandariah mempunyai empat buah pintu masuk salah satunya ialah Bab al-Sidrah (Pintu Sidrah) dan dari pintu inilah bermulanya perjalanan ke Maghribi. Seterusnya ialah Bab Rasyid (PintunRasyid), Bab al-Bahr (Pintu Laur) dan Bab al-Akhdar( Pintu Hijau). Pintu masuk ini akan dibuka pada hari Jumaat dan orang ramai keluar menerusi pintu ini untuk menziarahi kubur. Selain itu kota Iskandariah ini juga mempunyai sebuah pelabuhan yang hebat dan unik. Di dalam pengembaraan Ibn Battutah, beliau telah melawat rumah api. Rumah api ini berbentuk segiempat yang tingginya mencecah angkasa. Pintunya terletak tinggi dari aras bumi. Bersetentang dengan pintu ini terdapat sebuah bangunan lain yang mempunyai ketinggian yang sama. Di antara rumah api dengan bangunan itu diletakkan papan dan seseorang boleh melalui papan ini untuk pergi ke pintu rumah api itu. Ibn Battutah sekali lagi menziarahi rumah api tersebut sewaktu pulang dari Maghribi pada tahun 750H (1349 M). Pada masa itu rumah api tersebut telah rosak dengan teruknya. Al-Malik al-Nasir r.h telah memulakan pembinaan rumah api yang sama tetapi kemangkatannya telah menghalang baginda daripada menyempurnakan binaan tersebut. Suatu perkara lagi yang unik dan pelik di kota Iskandariah ialah sebatang tiang yang amat mengagumkan yang terletak di luar kota ini. Orang ramai menamainya tiang ini sebagai tiang sawari. Tiang ini berada di tengah-tengah sebuah kebun tamar.

Antara ulama yang terkenal di Iskandariah ialah kadinya Imaduddin al-Kindi, seorang yang pakar dalam bidang ilmu bahasa. Beliau memakai serban yang bertentangan dengan adat pemakai serban. Ketika Ibn battutah memasuki bilik Imam Burhanuddin, beliau melihat Ibn Battutah seorang yang mempunyai minat mengembara dan telah mencadangkan kepada ibn Battutah agar mengembara ke India dan China. Semasa Ibn Battutah meninggalkan imam Burhanuddin, beliau membekalkan beberapa dirham untuk Ibn Battutah. Wang itu sentiasa disimpan dan tidak digunakan sehinggalah dirompak oleh orang kafir di India sewaktu mereka merompak barang-barang Ibn Battutah di lautan. Krisis telah berlaku antara pedagang Muslim dan pedagang Kristian di Kota Iskandariah pada tahun 727H (1326M).

Dari kota Iskandariah, Ibn Battutah berangkat dan sampai di kampong Taraujah. Taraujah ialah sebuah perkampungan yang besar, dan mempunyai seorang kadi, gabenor serta penasihat kewangan. Penduduknya memiliki akhlak yang mulia dan bermaruah tinggi. Di kampung ini, Ibn Battutah menjadi tetamu di rumah seorang lelaki yang mulia dan sangat berwibawa bernama Abdul Wahab. Ibn Battutah meneruskan lagi pengembaraannya dan tiba di Damanhur. Damanhur ialah sebuah kota yang menghasilkan produktiviti yang tinggi dan memiliki pemandangan yang sangat indah. Ia merupakan ibu kota bagi seluruh kota di wilayah Buhaira dan segala urusan kota tertumpu disitu. Kemudian Ibn Battutah bertolak ke Fawa. Kota Fawa ini mempunyai pemandangan yang menakjubkan dan menawan. Terdapat banyak kebun di kota ini dan juga barang-barang bekalan berharga. Disinilah juga letaknya kubur Syeikh Abu al-Najah, seorang yang sangat terkenal dan merupakan tukang tilik negeri tersebut. Zawiyah Syeikh Abu Abdillah al-Mursyidi adalah berhampiran dengan kota Fawwa dan dipisahkan oleh sebuah terusan disitu. Ibn Battutah sampai di Zawiyah sebelum solat asar. Ibn Battutah masuk kedalam dan menemui Syeikh Abu Abdillah, lantas beliau bangun dan memeluk Ibn Battutah. Pada malam itu, Ibn Battutah bermimpi seolah-olah berada diatas sayap seekor burung yang besar. Burung itu membawa ibn Battutah terbang menuju ke kiblat (kota makkah). Kemudian ia menuju ke Yaman dan ke arah Barat. Sesudah itu menuju keselatan dan akhirnya burung itu melakukan penerbangan yang jauh kearah barat dan berhenti ditempat yang gelap serta hijau dan meninggalkan ibn Battutah disitu.

Ibn Battutah menceritakan mimpinya kepada Syeikh Abu Abdillah dan syeikh Abu Abdillah mentafsirkan bahawa Ibn Battutah akan mengerjakan haji di Makkah dan menziarahi makam Nabi s.a.w di Madinah. Ibn Battutah akan pergi mengembara ke negeri Yaman, Iraq, Turki dan India. Ibn Battutah meneruskan perjalanan ke Nahrariyyah, sebuah kota yang luas dan mempunyai bangunan-bangunan yang baru. Dari kota Nahrariyyah, beliau berjalan menuju ke kota Abyar. Kota ini dipenuhi oleh bangunan-bangunan lama, namun persekitaran kota ini berbau harum. Kemudian Ibn Battutah meneruskan perjalanan ke Kota Mahallah al-kabirah, sebuah tempat yang penting dan mengagumkan. Nama kota ini ialah bayyin. Di kota ini ada seorang ketua kadi, dan seorang ketua gabenor. Seterusnya Ibn Battutah meneruskan lagi pengembaraannya dan pada kali ini melalui jalan berpasir untuk pergi ke kota Dimyat. Dimyat merupakan kota yang mempunyai banyak tanah lapang dan buah-buahan yang berbagai jenis. Susunannya juga unik dan ia menikmati segala kebaikkan. Orang ramai menulis nama kota ini sebagai zimyat. Kota Dimyat terletak di tebing sungai Nil. Apabila seseorang memasuki kota Dimyat ini, mereka tidak dibenarkan keluar sehingga mendapat cap gabenor. Kota Dimyat ini kota yang baru dibina. Kotanya yang lama telah dirobohkan oleh Perancis. Dari kota Dimyat Ibn Battutah meneruskan perjalanan ke kota Asymum al-Rumman. Kota ini dinamai sebagai Ruman kerana disini terdapat banyak buah delima. Kota ini juga ialah sebuah kota purba besar yang terletak ditebing salah sebuah terusan Sungai Nil. Selain itu ia turut mempunyai jeti yang diperbuat daripada kayu iaitu tempat kapal melabuhkan sauhnya.

Pengembaraan Ibn Battutah diteruskan lagi ke kota Samamnud yang juga terletak di tebing Sungai Nil. Dari kota ini Ibn Battutah menaiki sebuah sampan di Sungai Nil menuju ke Mesir yang merentas kota-kota serta kampung-kampung yang tersusun dan bersambung antara satu dengan yang lain. Seseorang yang belayar di Sungai Nil tidak perlu membawa bekalan kerana setiap kali turun ditebingnya ia boleh mengambil wuduk,menunaikan solat serta membeli makanan. Akhirnya Ibn Battutah sampai di kota Mesir (Kaherah). Mesir ialah sebuah ibu kota dan tempat bersemadinya Fir’aun yang zalim. Kota Mesir bagai laut yang bergelombang dengan penduduknya yang padat. Bangunan –bangunan yang banyak dan tersergam indah. Keunikan wilayah ini tiada tolok bandingnya. Raja-rajanya pula dapat menguasai orang Arab dan orang ajam (orang bukan arab). Selain itu ia memiliki sungai Nil yang berfungsi sebagai pengganti hujan untuk mendapatkan air. Dikatakan bahawa terdapat 12 000 orang ynag mengangkut air menggunakan unta dan 30 000 orang menyewa keldai serta baghal untuk mengangkut air di Mesir.

Masjid ‘Amru ibn al-As ialah sebuah masjid yang sangat mulia, dihormati dan masyhur. Ada sebatang jalan yang merentas masjid ini dari arah timur ke barat. Madrasah-madrasah dan zawiyah di Mesir tidak terhitung banyaknya, manakala pendapatan harian maristan ini berjumlah 1000 dinar. Di setiap zawiyah ada seorang syeikh dan seorang penjaga. Di mesir terdapat sebuah tanah perkuburan atau kawasan pusara yang bernama Qarafah. Qarafah ini merupakan sebuah tempat yang sangat berkat. Kelebihannya kerana ia merupakan sebahagian daripada Bukit Muqattam yang dijanjikan Allah akan menjadi salah sebuah taman syurga. Penduduknya membina kubah-kubah yang cantik didalam kawasan Qarafah ini. Binaannya jika dilihat seperti rumah. Penduduknya mengupah qari-qari untuk membaca al-Quran dengan suara yang merdu pada waktu siang dan malam. Di Qarafah Mesir ini terdapat makam ulama antaranya makam Imam Abu Abdillah Muhammad ibn Idris al-Syafie r.a.

Sungai Nil di Mesir mengatasi semua sungai lain didunia kerana airnya yang manis, keluasan dan memberi manfaat kepada manusia. Allah s.w.t menamai Sungai Nil sebagai yamm yang bermaksud ‘laut’ dan terdapat dalam surah al-Qasas (ayat 28). Dalam hadith sahih, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w tiba pada malam isra’ di Sidrah al-Muntaha. Di dasar terdapat empat batang sungai, dua yang zahir dan dua yang batin. Baginda bertanya kepada jibril dan jawab jibril dua batang sungai itu yang batin itu mengalir dalam syurga dan dua batang sungai yang zahir ialah Sungai Nil serta Sungai Furat. Sungai ini hanya boleh diseberangi dengan kapal samada musim panas mahupun musim sejuk.

Piramid adalah antara binaan yang termasuk di dalam perkara ajaib di dunia. Piramid ialah binaan daripada batu pejal yang dipahat, sangat tinggi berbentuk bundar, lebar dasarnya dan menirus ke hujung puncaknya seperti bentuk kon. Binaan tidak tidak berpintu dan cara pembinaannya tidak diketahui. Sultan yang memerintah mesir sewaktu Ibn Battutah pergi mengembara ke mesir ialah al-Malik al-Nasir Abu al-Fath Muhammad Ibn al-Malik al-Mansur Saifuddin Qalawun al-Salihin Qalawan digelar sebagai Alfi (orang seribu) oleh orang ramai kerana beliau dibeli oleh al-Malik al-Salih dengan harga 1,000 dinar emas. Al-Malik al-Salih r.h seoarang yang berbudi pekerti mulia, Baginda sanggup berkhidmat untuk kedua-dua tanah suci iaitu Makkah dan Madinah. Selain kaya dengan bentuk bangunan yang unik, Mesir juga mempunyai keistimewaan lain iaitu ulamaknya. Antara mereka ialah Syamsuddin al-Asbhani seorang imam yang sangat terkemuka dalam bidang logik dan metafizik, Burhanuddin al-Safaqusi dan Qiwamudin al-Kirmani. Tempat tinggal Qiwamudin ialah di atas bumbung Jami ‘al-Azhar. Qiwamudin juga mengeluarkan fatwa berdasarkan berbagai-bagai mazhab.

Semasa Ibn Battutah berada di kota Mesir terdapat hari Mahmil iaitu hari unta berarak mengelilingi kota. Ia juga merupakan hari perayaan dan berlangsung pada bulan Rejab. Ketika perayaan itu berlansung, Allah s.w.t mencampakan azam ke dalam hati hamba yang dikehendakinya untuk menunaikan fardu haji. Ibn Battutah meneruskan perjalannannya dengan melalui jalan hulu Mesir. Matlamat Ibn Battutah agar beliau dapat sampai ke tanah hijjaz yang mulia itu. Pada malam sebelum Ibn Battutah bertolak, beliau bermalam di ribat yang dibina oleh Sahib Tajuddin ibn Hanna’di Dair al-Tin. Ia merupakan sebuah ribat yang agung yang dibina oleh beliau berdasarkan kemegahan dan peninggalan bersejarah yang sangat hebat. Barang-barang peninggalan yang bersejarah itu ialah serpihan daripada besen kayu Rasulullah s.a.w, pensil yang digunakan baginda untuk menyapu celak dimatanya, penebuk lubang yang digunakan oleh baginda untuk menjahit sepatunya dan mushaf al-Quran Amir al-Mukminin ali ibn Abi Talib r.a yang ditulis dengan tangannya sendiri.

Setelah Ibn Battutah keluar meninggalkan ribat tersebut, beliau berjalan melalui Munyah al-Qa’id iaitu sebuah kampung yang kecil di tebing Sungai Nil. Dari situ Ibn Battutah pergi ke kota Busy. Kota ini merupakan penghasil terbesar kain linen di Mesir. Hasilnya dibawa keseluruh negeri Mesir dan Afrika. Dari kota Busy, beliau sampai di Dalas. Kota Dalas juga sama dengan kota Busy menghasilkan kain linen. Kemudian Ibn Battutah pergi pula ke Kota Biba dan meneruskan perjalanan ke Bahnasa. Ia merupakan kota yang besar dan kebun yang banyak . Di kota ini baju bulu yang elok dihasilkan. Ibn Battutah sampai ke Munyah ibn Khasib, sebuah kota besar yang meliputi kawasan yang luas dan dibina di tebing Sungai Nil. Kota Munyah ini mengatasi di hulu Mesir kerana di sini terdapat madrasah, masyad, zawiyah dan masjid. Dari Munyah Ibn Battutah meneruskan pengembaraan ke Kota Manlawi. Manlawi merupakan kota kecil yang dibina dalam jarak dua batu dari Sungai Nil. Kadinya ialah Faqih Syarafuddin al-Damiri al-Syafi’e. Majoriti penduduknya dikenali sebagai Bani Fudail. Ibn Battutah pergi pula ke Kota Manfalut sebuah kota yang sangat cantik dan indah. Ia terletak di pinggir Sungai Nil dan keberkatannya masyhur keseluruh negeri. Di kota Manfalut sejenis makanan madu lebah telah dibuat.

Ibn Battutah meneruskan lagi misi pengembaraannya dan sampai ke Asyut. Asyut ialah sebuah kota yang cantik dan pasar-pasarnya yang sungguh menarik. Kadinya ialah Syarafuddin ibn Abdil Rahim. Beliau amat terkenal dengan gelaran Hasil ma Thamma yang bermaksud “tiada hasil”. Dari Asyut, Ibn Battutah berangkat ke Ikhmin. Ikhmin merupakan sebuah kota ynag kukuh binaannya dan mempunyai cirri-ciri yag mengagumkan. Disini terdapat satu binaan yang diberi nama Birba. Ia diperbuat daripada batu dan didalamnya terdapat ukiran serta tulisan daripada orang-orang dahulu. Dari ikhmin Ibn Battutah pergi ke kota Hu. Di Hu Ibn Battutah menumpang di Madrasah Taqiyuddin ibn al-Sarraj. Ibn Battutah menziarahi Syarif Muhammad Abdullah al-Hasani ini dengan hasrat untuk memperolehi keberkatan dengan melihat dan mengucapkan salam kepadanya. Syarif Muhammad menanyakan kepada Ibn Battutah hajatnya lalu Ibn Battutah pun menyatakan yang beliau ingin menunaikan haji melalui jalan Jeddah. Syarif Muhammad menyatakan yang Ibn Battutah tidak akan berjaya melalui jalan Jeddah. Ibn Battutah hanya dapat menunaikan Hajinya dengan melaui jalan Syam. Ibn Battutah tetap mengikut kehendak hatinya tetapi perjalanan Ibn Battutah tidak berjaya dan Ibn Battutah berpatah balik dan mengikut jalan Syam.

Beliau meneruskan perjalanan ke Qina, sebuah kota kecil dan terdapat makam seorang Syarif, wali yang salih iaitu Abdul Rahim al-Qinawi r.a. Dari Qina Ibn Battutah ko Kota Qus yang dipenuhi dengan pelbagai kebaikan dan terdapat kebun-kebun yang dipenuhi dengan pokok-pokok berdaun lebat. Di sini juga tempat tinggal gabenor-gabenor hulu Mesir. Kemudian Ibn Battutah mengembara ke Aqsur (Luxor) merupakan sebuah kota kecil dan cantik. Di sini terdapat makam al-Hajjaj al-Aqsuri yang salih dan tekun beribadah. Setelah itu Ibn Battutah pergi pula ke Armant, kota ini dibina di tebing sungai Nil. Dari kota Armant Ibn Battutah pergi pula ke kota Asna. Sebuah kota yang besar dan mempunyai jalan yang luas, bahan mentah yang banyak begitu juga dengan zawiyahnya. Ibn Battutah pergi ke kota Adfu, yang jaraknya sejauh perjalanan yang mengambil masa selama sehari semalam melalui padang pasir. Kemudian Ibn Battutah menyeberangi Sungai Nil dari Kota Adfu menuju ke kota Atwani. Di sini Ibn Battutah menyewa unta untuk terus mengembara bersama-sama dengan sekumpulan Arab yang dikenali sebagai Daghim. Di salah satu persinggahan kami berhenti di Humaithira, tempat letaknya makam wali Allah, Abu al-Hasan al-Syazili. Setelah berjalan selama lima belas hari, akhirnya Ibn Battutah dan kumpulan Arab tiba di Aizab. Aizab merupakan kota besar yang kaya dengan ikan dan susu. Penduduknya ialah orang Bujah yang berkulit hitam. Ketika sampai di Aizab Hadrabi, sultan orang Bujah sedang berperang dengan orang Turki. Sultan Hadrabi berjaya menenggelamkan kapal orang Turki ini dan menyaksikan sendiri bagaimana mereka melarikan diri. Disebabkan kejadian itu Ibn Battutah tidak berani belayar di laut. Oleh itu mereka menjual barang-barang bekalan dan pulang ke hulu Mesir bersama-sama dengan orang Arab. Akhirnya Ibn Battutah sampai di kota Qus dan menyusur sungai Nil. Pada waktu itu air sungai Nil sedang melimpah sehingga berlaku banjir. Setelah lapan hari menyusur akhirnya Ibn Battutah tiba di Mesir.

Siti Rahmah Bt Mas’ot @ Johali

JK Biro Al Rihlah

Persatuan I-Rakan

UNISEL

 

Advertisements


One Response to “Rihlah Ibn Batutah: Barat Laut Afrika & Mesir”

  1. 1 acahmakenon

    Tahniah kepada Siti Rahmah yang telah menghasilkan ringkasan Bab 1 : Barat Laut Afrika & Mesir. Kisah perjalanan Ibn Battutah yang menarik perhatian saya ialah halangan secara ‘lisan’ merupakan cabaran kepada beliau untuk teruskan jelajah beliau.

    Halangan pertama apabila beliau dinasihatkan oleh Kadi Kota Bijayah iaitu Abu ‘Abdillah al-Zawawi disebabkan beliau demam atas faktor cuaca. Namun semangat beliau terus kental meneruskan pengembaraan beliau ke Kota Qusantinah dengan menggunakan tunggangan kadi tadi.

    Halangan Kedua ketika di Madrasah Taqiyuddin ibn al-Sarraj, Hu. Syarif Muhammad menasihatkan Ibn Battutah agar perjalanan seterus ke Mekah harus melalui Syam jangan melalui Jeddah. Namun Ibn Battutah tetap menguatkan hatinya mengikut laluan Jeddah tetapi perjalanan Ibn Battutah tidak berjaya beliau berpatah balik dan mengikut jalan Syam.

    Ini menggambarkan Ibn Battutah seorang yang berjiwa besar sanggup menerima cabaran dan risiko yang tidak dijangka. Malah jika ada cabaran itu lebih beliau bersungguh untuk melakukannya. Kemudiannya Ibn Battutah tidak pula mudah berputus asa, walaupun tersalah membuat keputusan. Tidak pula ego untuk kembali ke jalan asal bagi meneruskan misi perjelajahan beliau.

    Saya kira, semangat ini perlu ada pada generasi muda…sangat mengambil risiko yang bijaksana dan meneruskan perjuangan!

    http://acahmakenon.wordpress.com/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: